Thursday, May 9, 2013

MUHASABAH PRU13

Assalamualaikum,


1] Keputusan PRU 13 terlalu banyak tanda tanya yang melibatkan ketelusan dan kejujuran BN menghadapi PRU dan SPR yang mengendalikan PRU tersebut. Bermula laporan polis berkait dakwat kekal yang boleh dihilangkan sepenuhnya dalam tempoh tak sampai setengah jam sebagaimana berlaku di seluruh negara hinggalah laporan mengenai sogokan wang kepada pengundi jika mereka memberi undi kepada BN sebagaimana yang berlaku di DUN Tioman dan DUN Bukit Ibam.

2] Ketidaktelusan ini, jika boleh berlaku di satu kawasan maka tidak mustahil ia boleh berlaku di tempat yang lain pula. Tanggapan ini berasaskan hilangnya nilai integriti pada pelakunya. Tidak hairanlah 1001 lagi penipuan, penyelewengan dan keraguan berlaku termasuklah menggunakan pengundi warga asing, kertas undi awal yang tidak boleh dipantau dalam lokap, blackout dan lain - lain perkara yang mencetus rasa ragu dan hilang kepercayaan umum kepada sistem demokrasi negara.

3] Sebenarnya perkara seperti ini telah kedengaran dalam setiap kali PRU, cuma PRU13 dilihat sangat ketara. Tambahan pula berlaku dalam suasana rakyat terbanyak memberi sokongan dan menterjemahkannya kepada undi yang besar pada Pakatan Rakyat keseluruhannya sehingga meletakkan Barisan Nasional terpaksa membentuk kerajaan yang tidak popular.

4] Namun sistem "Westminster" yang bercirikan "First past the post" membolehkan BN membentuk kerajaan biarpun tidak memiliki undi popular. Justeru itu saya melihat PR pada masa akan datang setelah saya menilai pengalaman 6 kali PRU memerlukan "Undi Malaikat" bagi maksud menumbangkan Barisan Nasional dalam PRU akan datang.

5] Allah SWT menjelaskan bahawa malaikat-Nya pernah turun membantu tentera Badar [313 orang] saat mereka berdepan dengan kekuatan musuh yang berlipat ganda [1000 orang]. Lihatlah bagaimana Allah swt menjelaskan situasi itu :

“(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.”

“Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).”

“(Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?,"

Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertakwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing.”

Surah Ali Imran : 122 - 125
6] Meneliti pendedahan Allah SWT yang memberi kemenangan kepada tentera Badar melalui bantuan ketenteraan malaikat, meskipun mereka dalam serba kekurangan adalah berpaksi kepada beberapa perkara yang mesti dimiliki terlebih dahulu oleh mereka sebelum mendapat bantuan malaikat tersebut. Perkara yang saya maksudkan itu hanyalah 3 perkara:

Taqwa + Ikhtiar + tawakal

7] Adunan tiga perkara ini menjadikan mereka layak mendapat sokongan dan bantuan 3 - 5 ribu tentera malaikat. Lantaran itu saya menegaskan, kita juga mesti berusaha mendapat bantuan malaikat ini untuk menang mengatasi lawan. Jika kita yang terdiri dari saf pimpinan, petugas dan ahli jamaah memiliki takwa, ikhtiar dan tawakkal yang cukup dan jelas, tidak mustahil kita juga akan dibantu oleh malaikat yang turun mengundi dan memberikan kita lebihan majoriti 3 - 5 ribu undi insyaallah.

8] Hanya "undi malaikat" yang boleh membawa kita menang dan akhirnya mampu melaksanakan perubahan besar dalam negara kita. Namun "undi malaikat" hanya akan diperoleh jika dasar, tindakan, hala tuju perjuangan yang kita dokong adalah "patuh syariah" atau dalam ertikata lain ia tidak bertentangan dengan syariah.

9] Termasuklah parti dan aktiviti tahaaluf siasi kita. Walaupun ia dari parti non muslim, asal mereka tidak menentang dan bertentangan dengan syariah malah menepati prinsip tahaaluf siyasi, maka ia berhak mendapat rahmat Allah SWT. Seperti usaha non muslim bertahaaluf dengan kita untuk menentang rasuah, monopoli, penyalahgunaan kuasa, penginayaan dan sebagainya adalah dikategori berkonsepkan patuh syariah dalam aspek politik justeru Islam turut mengajar kita agar menentang rasuah dan penginayaan.

10] Ertinya tidak memadai dengan hanya bergantung kepada kekuatan material semata - mata tanpa menafikan betapa perlunya kita memperkukuhkan kewangan, jentera, bahan kempen, strategi dan sebagainya. Segalanya itu adalah faktor membantu kemenangan kita. Apa yang perlu diinsafi ialah kita mesti memiliki faktor penentu kemenangan iaitu Nusrah Allah SWT.

“Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah Ali-Imran 126)

Akhirnya, Pakatan Rakyat mesti bermula dari sekarang. Jangan meletakkan kedudukannya bertentangan dengan kehendak Allah SWT tuhan yang maha mencipta dan memberi rezeki. Termasuklah menyelesaikan isu kerusi bertindih dari awal agar tidak berlaku sengketa pada saat akhir yang merumitkan jentera untuk bekerja dan apa yang malang, ia akan membinasakan dan menghilangkan kekuatan kita ekoran sengketa yang berlaku.

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

Ust. Nasrudin Hassan