Sunday, February 15, 2015

PERCUTIAN DI BUKIT TINGGI (DUSUN NORA & COLMAR TROPICALE)

[entri lama]

Assalamualaikum, dua tiga hari lepas aku dan family ke Bukit Tinggi. Saje jalan-jalan..kalau ikutkan wife aku ajak naik bukit tinggi nie lepas balik daripada kursus kat Cyberjaya 13 Ogos hari tu tapi disebabkan masa aku lalu kat Bukit Tinggi tu dah maghrib jadi kitorang tak jadi naik.

Jadi selepas survey serba sedikit, kitorang buat keputusan untuk menginap di Nora Lodge @ Dusun Nora sebab murah dan suasana tempat nie macam kampung atau lebih tepat kampung lereng bukit. Lagipun bulan nie aku tak balik kampung jadi memang tercari-carila tempat yang memiliki suasana kampung/hutan.

Aku bertolak pukul selepas Zohor daripada Kuantan dan sampi dalam pukul 530 petang..aku sampai sedikit lewat sebab masa tu jalan sesak sket sebab ade pembaikian jalan, dahla masa tu orang-orang KL dalam perjalanan balik daripada bercuti. Memang jemla sket kat highway tu..pada masa yang sama hujan agak lebat jadi masing-masing memandu kenderaan dengan perlahan dan berhati-hati.

Daripada Kuantan, aku keluar ke persimpangan Bukit Tinggi dan untuk masuk ke kawasan Nora Lodge & Colmar Tropicale nie korang akan melalui satu pondok pengawal. Pengawal tu takkan soal korang apa-apa, just lalu je. Selepas pondok pengawal tu korang akan nampak dua jalan. Satu ke kiri dan satu lagi ke kanan dan untuk ke Nora Lodge, korang ambik jalan kanan.

Gambar nie aku pinjam daripada Che NamNam. Aku tak ingat nak ambik gambar papan tanda ni. Pinjam ye Che Nam Nam..

Lepas tu korang naik sampai jumpa papan tanda Dusun Nora macam kat atas nie kat sebelah kanan. Korang masuk ke kanan dan lepas tu korang pergi depan sikit dan korang akan nampak papan tanda Dusun Nora yang menunjukkan arah ke sebelah kiri...kecik je papan tanda tu. Lepas korang masuk kiri, korang pergi jer ke depan sket lagi dan korang akan nampak pagar rumah orang kat sebelah kiri.

Jangan masuk rumah orang tau, nanti orang marah. Korang ambik jalan kanan lepas tu ke depan sket lagi korang akan nampak dua jalan lagi. Sekali lagi, ambik jalan ke kanan, jalan tu menghala kat bawah dan lepas tu korang terus jer sampai jumpa pintu pagar hijau. Bila korang jumpa pintu pagar hijau bermakna korang dah sampai dah kat Nora Lodge.

Kami disambut oleh Pak Ibrahim iaitu penjaga tempat tu. Mesra orangnya..lepas tu, Pak Ibrahim bagi kunci bilik dan kami terus check-in. Not bad biliknye...sesuai dengan harganya dan apa yang membuatkan aku lebih gembira adalah disebabkan bilik tersebut diperbuat daripada kayu. Terasa macam aku dok kat kampung arwah nenek aku.

Selepas tengok-tengok bilik kejap, isteri aku mula hidang bekal yang kitorang bawak daripada rumah. Lapar woo..banyak tenaga digunakan semasa memandu..huhu..Masa kitorang nak mula makan, isteri Pak Jabit Ibrahim hantar air tea o kat kitorang. Tu yang teko warna hijau tu diala yang bagi...


Dahla masa tu aku memang dahaga air. Tambah-tambah plak isteri aku masak makanan kegemaran aku iaitu ikan siakap 3 rasa..perghh..memang mantapla...

Ok..selepas makan, kitorang rehat-rehat kejap.

Lepas dah relaks kejap, kitorang pergi jalan-jalan kat sekitar kawasan tue.

Untuk pengetahuan korang, kat situ ada 6 buah chalet yang mana 4 daripadanya adalah chalet single macam gambar kat bawah nie dan 2 lagi adalah chalet berkembar.


Bilik mandi ada dua..satu kat tengah-tengah antara chalet single dan satu lagi bersebelahan dengan chalet berkembar. Tandas pun ada dua..satu kat hujung (tepi chalet aku) dan satu lagi bersebelahan dengan chalet berkembar. Tandas nie di kira macam umumla..maknanya keempat-empat chalet nie berkongsi satu bilik air dan tandas. Kalau bilik mandi/tandas yang kat chalet single nie ada orang, korang boleh jer pergi kat bilik mandi/tandas yang bersebelahan dengan chalet kembar nie.



Oh yer..bilik mandi kat sebelah chalet berkembar nie istimewa sket tau sebab ada tab mandi..huhu...

will be continue...



SUAMI 'MUDOH BBASO', ISTERI TAAT SETIO

Buat tatapan suami dan isteri. Temu ramah ini walaupun ringkas ia memberikan peringatan berdasarkan teladan Al-Marhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat selaku pemimpin sebuah keluarga. Terima kasih kepada penulis yang menemu ramah dan menggarapnya dengan baik dan bahasa yang mudah (difahami).

ROSMIZA KASIM DAN SITI FATIHAH AWANG
15 Februari 2015

PERMERGIAN insan tersayang yang berkongsi hidup selama 53 tahun sudah pasti memberi kesan hebat kepada diri seseorang, apatah lagi insan itu seorang suami penyayang yang lebih dikenali sebagai Tok Guru, juga menjadi pemimpin disayangi ramai, di dalam dan luar negara.

Ikuti luahan hati DATIN TUAN SABARIAH TUAN ISHAK, isteri bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam wawancara eksklusif bersama wartawan Sinar Harian, ROSMIZA KASIM dan SITI FATIHAH AWANG di kediaman beliau sehari selepas pemergian suami yang dicintai itu.“Nanti abang tak dok (meninggal dunia) lepas ni, sapo nak jago Yah,” itulah kata-kata yang membuatkan hati saya sedih dan sayu apabila mengenangkan suami yang baru sehari meninggalkan saya buat selama-lamanya.

Kata-kata abang itu yang diluahkan tiga hari sebelum meninggal dunia, ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) itu saya sambut dengan senyuman, sambil memegang tangan insan yang selama ini berkongsi hidup suka dan duka dengan saya.


Sambil menggenggam tangan abang, saya kata “anak-anak kita kan ada, mereka boleh jaga saya sampai bila-bila. Abang janganlah risau,” walaupun dalam hati saya ketika itu sebak tidak terkata.
(Perasaan yang ditanggung itu diluahkan Tuan Sabariah sambil menyapu air mata dengan tisu yang dihulurkan saudara-mara yang datang menziarahi keluarganya di kediamannya).

Kini, anak-anaklah yang akan menjadi peneman saya, menghilangkan kesunyian hidup saya. Walaupun baru sehari, saya mengakui saya sangat merindui beliau.

Dengan izin, hari ini (semalam) saya dan semua anak-anak awal-awal pagi lagi ke kubur. Dalam keadaan sayu hati dan reda dengan ketentuan ALLAH SWT, saya sedekahkan Al-Fatihah dan ayat suci al-Quran kepada suami tercinta di perkuburannya.

Saya reda dan saya juga tidak 'berhutang' apa-apa lagi dengan abang. Saya memang menjaga abang sepenuh hati saya sebagai seorang isteri sebagaimana yang abang mahukan selama ini, walaupun saya juga kadang kala diuji dengan kesihatan yang tidak menentu.

Sebelum ini, makan, minum dan pakaian abang dijaga dengan baik. Makanan sentiasa terhidang untuk suami tersayang dan tidak pernah sekalipun saya menyuruhnya mengambil sendiri.
Cuma, saya perasan satu kelainan kerana beberapa bulan lalu, abang kadangkala menyediakan sendiri minumannya tanpa bantuan saya.

Saya menghormati abang, memang abang seorang insan istimewa yang tiada galang gantinya bagi saya. (Beliau terus menyapu air mata dan kemudiannya cuba memujuk diri dengan melemparkan senyuman kepada hadirin).

Biarpun abang seorang menteri besar dan pemimpin masyarakat, namun abang bukanlah seorang yang cerewet, terutamanya dalam soal memilih makanan.
Senang sangat, malah saya yakin setiap isteri di dunia ini mengimpikan seorang suami yang 'mudoh baso' (senang kira) malah tidak keterlaluan jika saya katakan, saya antara yang bertuah kerana memiliki abang.

Masakan kampung memang menjadi keutamaan abang. Sedap atau tidak bukanlah satu kepentingan. Apa yang pasti, itulah menu pilihan, tambahan pula jika disajikan dengan ikan darat, ditambah pula kuih paling digemari, lompat tikam serta jala emas.

(Mengimbas semula kisah hidupnya sebagai suami isteri, Tuan Sabariah juga memberitahu setiap malam dia akan mengurut dan menyapu minyak di tubuh Tok Guru sebelum tidur).

Sentiasa saya ingat, kata-kata abang yang memberitahu, tidak ada harta yang banyak boleh ditinggalkan untuk anak-anak. Semuanya sudah diberikan. Harta yang dimaksudkan adalah ilmu untuk menjadikan anak-anak yang soleh, berguna kepada agama dan bangsa.

Memang abang pentingkan ilmu kepada anak-anak, kerana baginya, ilmulah darjat yang paling tinggi di akhirat.

Itulah yang sentiasa menjadi pesanan abang kepada semua anak-anak.
Bukan sahaja pentingkan ilmu, malah abang juga seorang yang penyayang. Masih terbayang-bayang lagi tiga hari sebelum abang menghembuskan nafas terakhir, kami ketawa bersama apabila dia mengenyit mata kepada saya ketika terbaring di katil hospital.

Malah saya membalasnya dengan senyuman yang penuh ikhlas dari hati saya sambil menggenggam tangannya.

Walaupun ketika itu abang tidak gagah namun abang masih lagi memujuk hati saya dengan bersikap demikian kerana abang tahu, saya terlalu risaukan kesihatan abang.
Saya kagum kerana abang masih lagi (berusaha) menghiburkan saya walaupun dalam keadaan uzur.
Saya sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang baik, biarpun dalam keadaan terlantar, masih lagi menjaga batas-batas saya sebagai seorang Muslim.

Pernah satu ketika, saya bercakap dengan seseorang. Pada mulanya abang hanya menghentak tangannya pada saya dengan perlahan, tapi lama-lama semakin kuat.

Rupa-rupanya abang tidak suka saya bercakap perkara yang tidak sedap didengar di telinganya.
Sampai begitu sekali dia sayangkan saya, supaya saya tidak buat perkara yang merugikan, malah abang sering berpesan ia adalah kebaikan untuk dijadikan contoh kepada anak-anak.

Ini juga yang patut dicontohi dan saya amat bersyukur semasa dalam keadaan sakit dan tidak bermaya, abang masih lagi bangun sepertiga malam untuk bertahajud.

Sangat tersentuh hati saya apabila kira-kira jam 3 pagi saya mendengar abang sedang membaca ayat-ayat suci al-Quran ketika bertahajud dan pernah satu ketika, bacaannya agak kuat kerana sengaja untuk bangunkan saya daripada tidur.

Memang inilah amalan abang sejak dulu lagi, malah tidak pernah abang abaikan dan mengeluh penat untuk melaksanakannya, walaupun kadangkala balik lambat sehingga jam 2 pagi (sewaktu menjadi menteri besar) pun.

Bertahajud tetap menjadi keutamaannya.

Pernah juga abang bergurau, “Pahala solat sunat abang lakukan ini tidak boleh berkongsi dengan Yah, amalan masing-masing. Jadi kita kena sentiasa beribadah”.

Walaupun nada nya bergurau, tapi saya tahu pesanannya itu adalah daripada seorang suami yang mahukan yang terbaik buat isterinya.

Abang memang utamakan solat. Setengah jam sebelum masuk waktu abang akan bersedia dengan wuduk dan saya masih ingat perumpamaan yang ditujukan kepada saya mengenai solat. Katanya, seperti menghadiri majlis kenduri, jika lewat datang sudah pasti lauk-pauk tidak akan cukup lengkap. Katanya sama juga dengan solat, jadi jangan tangguh-tangguhkan.

(Sekali lagi air mata Tuan Sabariah mengalir dan tetamu yang berada di ruang tamu juga kelihatan sayu sambil kedengaran tangisan kecil apabila berkongsi mengenai baju paling disukai oleh Tok Guru yang digayakan oleh isterinya.

Keadaan menjadi lebih sayu dan masing-masing memandang Tuan Sabariah apabila baju kegemaran Tok Guru itu dipakai sehari selepas pemergian Allahyarham, sambil tangannya digenggam erat oleh penulis)

Baju inilah (baju kurung kain kapas krim berbunga kecil) yang abang paling suka saya pakai, malah sering memuji corak yang katanya begitu sesuai dengan saya. Abang tidak suka saya pakai baju warna terang dan bunga besar dan banyak, tetapi tidak pula pernah melarang ataupun menegur sehingga saya berkecil hati.

Pernah juga baju pemberian rakan terpaksa disimpan walaupun hanya beberapa kali dipakai.
Ini kerana abang pernah menegur saya secara bergurau, “Yah nampak tua pakai macam itu." Saya hanya membalas dengan ketawa dan terus menyimpan baju itu dan tidak dipakai lagi.

Bagi saya, apa yang terbaik untuk abang adalah yang terindah bagi saya. Walaupun hal pakaian adalah perkara remeh bagi sesetengah isteri, namun itulah keutamaan bagi saya untuk menjadi isteri yang patuh kepada suami.


Dipetik dari FB Ustaz Zamri Zainal Abidin